TEKS UCAPAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN GARIS PANDUAN MENENTANG TIPUAN BIDA DALAM PEROLEHAN AWAM DAN BUKU “HELP US DETECT BID-RIGGING.”

YB DATO’ SRI HASAN MALEK
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI,
KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN GARIS PANDUAN MENENTANG TIPUAN BIDA DALAM PEROLEHAN AWAM DAN
BUKU “HELP US DETECT BID-RIGGING.”

23 JUN 2014 (ISNIN)
PUSAT KONVENSYEN PUTRAJAYA (PICC)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob
Pengerusi MyCC

Y.Bhg. Dato’ Azmi bin Lateh;
Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Y.Bhg. Dato’ Zaidon bin Hj Asmuni;
Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan, SPRM, Jabatan Audit Negara, dan Institut Penyelidikan Khazanah

Y.Brs. Puan Shila Dorai Raj
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC

Ketua-Ketua Agensi KPDNKK
Ketua-Ketua Bahagian KPDNKK

Dato’-dato’, Tuan, Puan, Dif-dif Kehormat

Wakil-wakil Media

Dan Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian.

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia,

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita dapat bersama pada pagi ini di Majlis Pelancaran Garis Panduan Menentang Tipuan Bida dalam Perolehan Awam dan buku “Help Us Detect Bid-Rigging.”

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir pada pelancaran buku dan seminar hari ini, termasuk yang datang dari luar negara. Saya juga, bagi pihak Yang Berhormat Menteri, ingin memohon maaf atas ketidak hadiran beliau atas urusan lain yang tidak dapat dielakkan. Saya mewakili Yang Berhormat untuk memberi ucapan beliau pada hari ini.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Perolehan awam adalah satu aktiviti kerajaan yang penting dan boleh memberi kesan kepada ekonomi sesebuah negara. Secara amnya, perolehan awam didefinisikan sebagai tindakan pembelian barangan dan perkhidmatan oleh entiti sektor awam untuk mencapai sesebuah objektif yang telah dikenalpasti. Menurut Bank Dunia (World Bank), perolehan awam adalah perolehan yang dijalankan oleh sesebuah entiti perolehan menggunakan dana awam.

Dari aspek lebih terperinci pula, perolehan awam merupakan  pelaburan sektor awam dalam prasarana fizikal dan pengukuhan daya upaya institusi yang merupakan asas untuk pembangunan negara.

Sepertimana didapati oleh kajian Organisation of Economic Cooperation and Development (OECD) perolehan kerajaan sesebuah negara merupakan sebahagian besar daripada ekonomi negara – ia diperuntukkan 10 hingga 15 peratus daripada belanjawan negara di negara maju  dan sehingga 20 peratus di negara membangun.

Di Malaysia pula, menurut kajian-kajian ekonomi, perbelanjaan untuk perolehan sepanjang sepuluh tahun lepas berada di lingkungan 24 sehingga 33 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dan peratusan ini dilihat sebagai jumlah yang tinggi jika dibandingkan dengan kebanyakkan negara OECD lain.

Memandangkan perolehan awam menggunakan dana awam (public funds), akauntabiliti dan ketelusan merupakan antara perkara yang dititik beratkan oleh Kerajaan semasa tender-tender di uruskan. Oleh itu, sepertimana kami maklum, pihak Kerajaan telah menetapkan bahawa mana-mana perolehan awam mesti mengikuti lima prinsip utama iaitu: akauntabiliti awam (public accountability), diuruskan secara telus (transparent), nilai faedah yang terbaik (best value for money), saingan terbuka (open competition), serta adil dan saksama (fair dealing).

Namun demikian kita dapat perhatikan daripada Laporan Tahunan Ketua Audit Negara seringkali menunjukkan prinsip-prinsip yang saya nyatakan sebentar tadi tidak dipatuhi sepenuhnya. Setiap tahun laporan tersebut menunjukkan kes perolehan barangan, perkhidmatan dan pekerjaan dibayar lebih daripada harga pasaran, ataupun tidak digunakan sepenuhnya, dan sub-standard.

Oleh itu, para hadirin sekalian, dalam usaha memerangi ketirisan dan pembaziran, proses perolehan yang cekap dan telus amat mustahak – teknik pencegahan dan cara mengenalpasti masalah seperti tipuan bida amat penting dalam aspek ini.

Para hadirin sekalian,

Disinilah, Suruhajaya Persaingan atau MyCC memainkan peranan penting. Tipuan bida merupakan larangan dibawah Seksyen 4(2)(d) Akta Persaingan 2010 dan perusahaan yang didapati bersalah boleh di denda sehingga 10 peratus daripada nilai pusingan sedunia perusahaan tersebut. Tipuan bida merupakan kesalahan yang serius dan semua agensi persaingan dimana-mana negara pun memberi fokus kepada penguatkuasaan aspek undang-undang persaingan oleh kerana aktiviti seperti ini “drains public funds” ataupun menyusutkan dana awam. Oleh itu, kita harus berganding bahu dalam bersama-sama mencegah amalan yang merugikan masyarakat dan ekonomi negara ini.

Amalan tipuan bida merupakan satu ancaman besar kepada institusi awam, terutamanya kerana seringkali melibatkan projek-projek yang memerlukan pelaburan kos dan teknologi yang tinggi. Tipuan bida juga tidak hanya terdiri daripada pakatan sulit tetapi mungkin juga rasuah. Oleh itu sistem perolehan awam yang dikelolakan dengan betul amat penting dalam menggalakkan kemakmuran ekonomi sambil menjaga kebajikan masyarakat.

Pihak-pihak yang menjalankan perolehan, harus amanah dalam melakukan tugas dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelak dan menghalang pakatan antara pembida dan tipuan bida di dalam perolehan awam. Pendekatan yang proaktif boleh membawa kepada peningkatan dalam penjimatan dan sejurusnya meningkatkan belanjawan dan reputasi sektor awam.

Para hadirin sekalian,

MyCC telah menterjemahkan “Guidelines For Fighting Bid Rigging In Public Procurement” ke Bahasa Malaysia dengan tajuk Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam OECD. Selain daripada itu, satu handbook bertajuk “Help Us Detect Bid Rigging” yang bukan sahaja mengandungi tip-tip untuk pegawai-pegawai yang menguruskan perolehan awam tetapi juga mengandungi penjelasan mengenai beberapa jenis tipuan bida yang boleh dilakukan oleh pembida. Buku ini telah disediakan oleh MyCC untuk membantu mengesan aktiviti-aktiviti ini. Untuk makluman para hadirin sekalian, buku ini akan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dan akan diedarkan kepada semua agensi oleh kerana aktiviti perolehan awam dijalankan oleh semua agensi kerajaan.

Saya berasa syukur kerana kedua-dua buku ini akan dilancarkan pada hari ini.

Selain daripada pelancaran kedua-dua buku ini, MyCC juga telah menganjurkan bengkel yang bertemakan pengenalpastian dan pencegahan tipuan bida hari ini dan telah membawa pakar tipuan bida dari organisasi seperti OECD, serta dari Indonesia dan Korea. Ia merupakan peluang keemasan bagi para hadirin sekalian yang kebanyakkannya dari bahagian perolehan untuk mempertingkatkan kemahiran dalam mengenal pasti kawasan berisiko dan tanda amaran yang menunjukkan kewujudan pakatan sulit ataupun tipuan bida dalam proses perolehan awam masing-masing.

Saya juga dimaklumkan bahawa wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan, SPRM, Jabatan Audit Negara dan Institut Penyelidikan Khazanah sudi meluangkan masa untuk mengadakan satu perbincangan panel dimana idea-idea dan bagaimana keempat-empat pihak boleh bekerjasama untuk mewujudkan satu rangka untuk membolehkan usahasama menentang aktiviti tipuan bida di peringkat negara.

Para hadirin sekalian,

Akhir kata, saya juga ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada MyCC di atas kejayaan menghasilkan penterjemahan ke Bahasa Malaysia buku Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam OECD disamping menerbitkan buku “Help Us Detect Bid Rigging” dan juga menganjurkan bengkel tipuan bida ini. Ini menunjukkan komitmen MyCC yang tinggi dalam usaha membanteras elemen anti-persaingan sejajar dengan visi negara untuk memantapkan ekonomi.

Saya berharap MyCC akan sentiasa menjalankan program-program kesedaran dan pendidikan seperti ini bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat yang sewajarnya.  Sudah tentu usaha seperti ini tidak dapat dijalankan dengan berkesan tanpa sokongan dari setiap pihak, sama ada dari dalam dan luar negara.

Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufikwalhidayah, wassalamualikum w.b.t.

Disediakan oleh​: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Tarikh​​​: 18 Jun 2014