THE 2ND MOOT COURT COMPETITION ON COMPETITION LAW 2017

TEKS UCAPAN
PENGERUSI

SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA

THE 2 ND MOOT COURT COMPETITION ON COMPETITION LAW 2017

28-30 OKTOBER 2017,

IBRAHIM KULIYYAH OF LAWS (AIKOL), IIUM

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

YB Dato' Seri Seri Hamzah Zainudin,
Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan;
YBhg. Dato' Sri Jamil Salleh,
Ketua Setiausaha KPDNKK;
Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamarudin
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
YBhg. Dato’ Razali Bin Othman,
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK;
Anggota-Anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia;
YBhg. Dato’ Abu Samah Shabudin,
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC;
Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, Wakil-wakil media;
Para Siswa dari Institusi-institusi Pengajian Tinggi;
dan Para Hadirin yang dihormati Sekalian,

2

1. Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama pada pagi ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena majlis penutup “The 2nd Moot Court Competition on Competition Law 2017” yang dianjurkan buat kedua kalinya oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

2. Izinkan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Dato' Seri Hamzah Zainudin, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana sudi meluangkan masa bersama kita pada hari ini bagi menyokong usaha MyCC dalam menjayakan majlis ini.

3. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran semua hadirin terutamanya pensyarah, pelajar dan wakil-wakil dari pihak universiti, pegawai-pegawai kanan dari KPDNKK dan agensi-agensi di bawah KPDNKK serta wakil media yang sudi hadir ke majlis ini tanda sokongan kepada MyCC.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

4. Sejak penubuhan MyCC pada 1 April 2011, pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil oleh MyCC dalam membangunkan budaya persaingan di negara ini melalui aktiviti-aktiviti penguatkuasaan, advokasi dan pematuhan, kajian pasaran, penerbitan buku-buku panduan, pembinaan kapasiti dan perkongsian pengetahuan.

5. Saya selaku Pengerusi MyCC berbesar hati untuk memberitahu bahawa MyCC telah memberi penekanan bukan sahaja kepada sektor perniagaan, tetapi juga kepada masyarakat umum dan golongan pengguna termasuklah pihak institusi pengajian tinggi mengenai kepentingan pelaksanaan Akta Persaingan 2010.

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

6. ‘Moot Court Competition on Competition Law’ yang pertama kali diadakan pada tahun 2016 telah menerima sambutan dan penyertaan yang menggalakkan dari para pelajar universiti melibatkan Institut-institut Pengajian Tinggi (IPT) terpilih. Maklumbalas yang diperoleh dari pelajar-pelajar menyatakan penghargaan mereka terhadap
usaha MyCC dalam menganjurkan pertandingan seumpama ini yang ternyata berbeza dari pertandingan ‘Moot Court’ yang biasa mereka sertai sebelum ini. Selain itu, pertandingan ini juga telah membuka mata ramai tenaga pengajar dan pelajar mengenai Undang-Undang Persaingan yang masih baharu, justeru menjadikan ia suatu cabaran buat para graduan universiti untuk menerokai bidang persaingan yang merupakan suatu subjek yang menarik untuk dipelajari.

7. Penyiasatan kes-kes di bawah Akta Persaingan 2010 memerlukan kepakaran ekonomi dan perundangan yang sangat tinggi. Kemungkinan ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa pelbagai jenis penyelidikan dan kajian yang perlu dijalankan oleh MyCC dalam menyelesaikan sesuatu aduan dan kes yang memerlukan penelitian dan maklumat terperinci dari pelbagai pihak yang boleh mengambil jangkamasa yang lama. Setiap aduan tidak diterima sewenangnya oleh MyCC dan perlu dikaji kesahihan mengikut Akta. Oleh itu, usaha penyelidikan yang berterusan adalah amat perlu bagi MyCC.

8. Justeru, saya berpendapat, dengan wujudnya program “Moot Court Competition on Competition Law” seperti hari ini, ia secara tidak langsung akan dapat menggalakkan lagi bidang pendidikan dan penyelidikan berkaitan dengan undang-undang persaingan di Malaysia di kalangan pihak universiti. Program ini merupakan di
antara inisiatif MyCC untuk pihak institusi pengajian tinggi meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai Akta Persaingan 2010. Program kali ini telah disertai oleh tujuh penyertaan dari empat buah Institusi Pengajian Tinggi Awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM), dan Universiti Malaya (UM). Penyertaan tahun ini lebih menggalakkan berbanding dengan tahun lepas dan InshaAllah MyCC akan terus berusaha untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan yang pastinya dengan kerjasama dan sokongan dari KPDNKK dan pihak IPT.

9. Sepertimana para hadirin sedia maklum, MyCC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan lima buah institusi pengajian tinggi pada tahun 2015. Di antara program-program yang telah dijalankan oleh MyCC bersama pihak IPT melalui MOU tersebut sepanjang tahun ini adalah seperti program sangkutan jangkamasa pendek untuk para pensyarah di MyCC, latihan industri untuk para pelajar di MyCC, mengadakan latihan dan program advokasi di antara dua pihak serta membantu membangunkan serta menambahbaik program atau kursus mengenai undang-undang persaingan di beberapa universiti. Subjek undang-undang persaingan kini telah diperkenalkan di beberapa universiti di Malaysia yang menjadi subjek elektif sama ada di peringkat ijazah atau sarjana. Selain itu, terdapat juga beberapa universiti yang sedang berusaha untuk memperkenalkan subjek undang-undang persaingan di Universiti masing-masing. Langkah-langkah seperti ini semestinya akan membantu MyCC dalam mewujudkan golongan pakar dan membina kapasiti yang berkepakaran dan berpengetahuan tinggi dalam bidang persaingan di Malaysia.

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

10. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri KPDNKK serta para hadirin yang hadir di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan majlis kita pada hari ini. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga kepada Rektor UIAM dan para siswa dari Ahmad
Ibrahim Kuliyyah of Laws (AIKOL), UIAM yang turut membantu sebagai barisan urusetia bersama-sama MyCC dalam menjayakan program ini.

11. Saya yakin dengan kerjasama secara berterusan seperti ini, kita akan dapat mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing di peringkat global. Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufikwalhidayah , w.b.t. wassalamualiku.

Disediakan oleh : Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Tarikh : 25 Oktober 2016