Teks Ucapan Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob – Majlis Pelancaran Buku Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam dan Help Us Detect Bid Rigging di Kota Kianabalu Sabah pada 25 September 2014

TEKS UCAPAN

TAN SRI DATO’ SERI SITI NORMA YAAKOB PENGERUSI SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA (MyCC) SEMPENA MAJLIS PELANCARAN GARIS PANDUAN MENENTANG TIPUAN BIDA DALAM PEROLEHAN AWAM DAN BUKU “HELP US DETECT BID-RIGGING.”

25 SEPTEMBER 2014

HOTEL MING GARDEN, KOTA KINABALU

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Yang Berhormat Dato’ Sri Hasan Malek;
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)

Yang Berbahagia Dato’ Azmi bin Lateh;
Timbalan Ketua Setiausaha, KPDNKK

Yang Berusaha Encik Severinus Tukah;
Pengarah KPDNKK Negeri Sabah

Yang Berusaha Puan Shila Dorai Raj;
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC

Dato-dato, Tuan, Puan, Dif-dif Kehormat;

Wakil-wakil Media;

Dan Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian.

Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan berkat dan limpah kurnia-Nya dapatlah kita bersama-sama berkumpul pada tengah hari ini bagi sama-sama menyaksikan Majlis Pelancaran Garis Panduan Menentang Tipuan Bida dalam Perolehan Awam dan buku “Help Us Detect Bid-Rigging.”

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kerana sudi meluangkan masa bersama kita pada hari ini untuk menyempurnakan majlis pelancaran buku-buku ini. Terima kasih juga kepada Y.Bhg. Dato’ Azmi Lateh, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK yang juga bersama-sama MyCC pada hari ini.

Saya juga amat berterima kasih kepada semua pihak lain yang sudi hadir ke majlis ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah sebagai tanda sokongan dan jalinan kerjasama erat terhadap MyCC dalam menjayakan pelaksanaan Akta Persaingan 2010 ini yang saya sesungguhnya yakin merupakan pemangkin kepada kejayaan ekonomi negara.

Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian,

Sebagai Pengerusi MyCC, saya berbesar hati dapat menganjurkan majlis pelancaran buku-buku dan juga bengkel yang bertemakan tipuan bida ini di Kota Kinabalu, sejajar dengan usaha advokasi berterusan MyCC. Pelancaran buku-buku serta bengkel ini telah pertama kali diadakan di ibukota pada bulan Jun dan semenjak itu MyCC telah mengadakan road show untuk mewar-warkan buku-buku garispanduan tersebut dan pada masa yang sama memperkenalkan tipuan bida dalam konteks Akta Persaingan 2010. Bengkel bertemakan tipuan bida ini juga merupakan susulan daripada bengkel yang dianjurkan MyCC bersama Organisation of Economic Co-operation and Development atau OECD pada bulan Jun tahun lepas, bertajuk “Workshop on Fighting Bid Rigging: A Competition Authority Perspective.”

Saya berharap penglibatan badan-badan perolehan dalam bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh MyCC seperti ini bukan sahaja menjadi landasan meningkatkan pengetahuan tentang isu tipuan bida tetapi juga permulaan kerjasama yang erat antara semua agensi berkepentingan untuk memantau isu tipuan bida di peringkat kebangsaan.

Susulan daripada pelancaran di ibukota pada tempoh hari, MyCC telah meneruskan usaha untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan badan-badan Kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Jabatan Audit Negara Malaysia (JAN). Ini adalah kerana, isu tipuan bida merupakan satu isu yang lebih cekap dicegah jika persefahaman yang sama mengenainya dapat dicapai dikalangan badan-badan penguatkuasaan ini.

Untuk pencapaian yang lebih tinggi lagi dalam peningkatan kesedaran dan kepakaran dalam isu membanteras tipuan bida di peringkat negara, kerjasama dan sokongan padu yang berterusan semua pihak amat diperlukan. Oleh itu sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada wakil-wakil dari pelbagai badan Kerajaan yang hadir pada hari ini. Sokongan tuan-tuan dan puan-puan amatlah dihargai.

Para hadirin sekalian,

Dalam usaha menangani isu tipuan bida secara efektif, garis panduan adalah amat perlu sebagai rujukan. Kami amat bernasib baik pihak OECD telah mengambil inisiatif terdahulu untuk menerbitkan garis panduan berkenaan. Kami juga amat berterima kasih kepada pihak mereka kerana turut memberi bantuan kepada MyCC untuk menterjemah garis panduan tersebut ke Bahasa Malaysia.

Pada masa yang sama, pihak MyCC juga turut menerbitkan buku panduan yang ringkas bertajuk “Help Us Detect Bid Rigging”. Buku ini turut diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, dengan tajuk “Bantu Kami Mengenal Pasti Tipuan Bida”.

Para hadirin sekalian,

Tipuan bida adalah amalan yang menyalahi undang-undang persaingan di kebanyakan negara, termasuklah Malaysia. Secara amnya, tipuan bida membawa kepada harga tender yang berlebihan dan ini seterusnya menjejaskan perolehan awam. Seperti yang dinyatakan didalam garis panduan OECD sebelum ini, tingkah laku sebegini membebankan pembeli dan pembayar cukai dan seterusnya merugikan masyarakat.

Ia mengurangkan keyakinan orang ramai dalam proses persaingan dan boleh menjejaskan faedah pasaran yang kompetitif. Organisasi swasta dan awam bergantung kepada proses pembidaan yang kompetitif untuk mencapai nilai yang terbaik. Penjimatan yang didapati daripada perolehan yang bernilai baik boleh disalurkan untuk perolehan barangan dan perkhidmatan yang lain. Ini seterusnya menjuruskan kepada perkembangan ekonomi secara keseluruhan.

Ramai dikalangan orang awam tidak sedar bahawa amalan tipuan bida merupakan satu kesalahan dibawah Akta Persaingan 2010. Usaha kami ialah untuk meningkatkan pengetahuan sektor awam mengenai kesalahan ini dan seterusnya membantu kearah proses perolehan awam yang lebih berkesan.

Pegawai perolehan juga harus berwaspada bukan sahaja dari segi mengenal pasti ciri-ciri tipuan bida tetapi juga cara spesifikasi tender direka untuk mengelakkan tipuan bida dari berlaku.

Dengan itu saya berharap pengenalan buku-buku ini boleh dijadikan rujukan untuk badan-badan perolehan untuk mengenalpasti dan seterusnya membanteras amalan tipuan bida dalam perolehan awam, dan pada masa yang sama menjadi peringatan kepada pesalah atau mana-mana petender.   Buku-buku ini boleh dimuat turun dari laman web MyCC untuk rujukan semua secara percuma.

Para hadirin sekalian,

Hari ini merupakan langkah pertama bagi MyCC untuk meningkatkan kesedaran pegawai-pegawai dalam isu perolehan awam dan tipuan bida yang boleh berlaku semasa proses tender dibuka. Kami akan berkerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk meneruskan peningkatan pemahaman mengenai isu ini dan mendedahkan Pegawai-pegawai perolehan dalam bidang ini melalui latihan,bengkel atau seminar. Perkara ini sedang dibincangkan antara Kementerian Kewangan, INTAN dan MyCC.

Akhir kata saya berharap peserta bengkel hari ini akan memanfaatkan segala peluang untuk mempelajari teknik membanteras amalan tipuan bida dari pegawai-pegawai MyCC yang hadir.

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada hari ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Menteri kerana sudi merasmikan majlis pelancaran hari ini. Saya turut berterima kasih kepada pihak KPDNKK Sabah, para peserta dan pihak media yang hadir.

Wabillahitaufikwalhidayah, wassalamualikum w.b.t.

Disediakan oleh : Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)

Tarikh                         : 23 September 2014