PUBLIC SURVEY FOR THE STUDY ON THE IMPROVEMENT OF THE UMRAH INDUSTRY IN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menjalankan Kajian Penambahbaikan Industri Umrah di Malaysia yang bermula pada Oktober 2025 selaras dengan Seksyen 16(g) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 [Akta 713]. Kajian ini bertujuan meneliti struktur pasaran, menilai keadaan semasa industri serta menyokong penambahbaikan jangka panjang dalam rangka kerja ekonomi industri Umrah.

Kajian ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, termasuk menganalisis struktur pasaran dan corak operasi pemain industri Umrah, memahami tren permintaan dan penawaran perkhidmatan Umrah masa kini serta mengenal pasti isu-isu kritikal dan cabaran dari perspektif persaingan, pasaran dan regulatori. Objektif-objektif ini akan menyediakan input komprehensif bagi memperkukuh penambahbaikan pada masa hadapan.

Berdasarkan penemuan awal, MyCC akan mengemukakan syor dan cadangan intervensi yang bersesuaian kepada Kerajaan untuk memperkukuh mekanisme pemantauan pasaran, mempromosikan persaingan sihat dan menyokong pembangunan mampan industri Umrah.

Sejak Oktober sehingga Disember 2025, MyCC telah berinteraksi dengan pelbagai pemegang taruh termasuk persatuan, agensi pelancongan dan syarikat penerbangan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang lanskap semasa industri.

Sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan data, yang turut melibatkan edaran kaji selidik untuk penyertaan awam, MyCC telah melancarkan Kajian Selidik Jemaah Umrah pada 2 Disember 2025. Kaji selidik ini boleh diakses melalui pautan https://forms.gle/u1rAgF9zVXTHFAJ27 sehingga 19 Disember 2025 (Jumaat).

Pandangan dan maklumat yang diberikan oleh orang awam serta pemegang taruh industri akan memainkan peranan penting dalam membentuk cadangan dasar dan langkah penambahbaikan bagi mewujudkan pasaran Umrah yang cekap, telus dan kompetitif, demi manfaat pengguna di Malaysia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Bahagian Dasar dan Komunikasi
Telefon: +6019 269 6037
Emel: [email protected]

Mengenai Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Ditubuhkan pada Jun 2011, MyCC ialah sebuah badan bebas yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang digubal bagi memupuk persaingan sihat sekali gus merangsang produktiviti dan inovasi, serta menyediakan lebih banyak pilihan produk kepada pengguna pada harga yang munasabah.

Akta 712 terpakai kepada semua aktiviti komersial yang dijalankan dalam dan luar Malaysia yang memberi kesan kepada persaingan dalam pasaran Malaysia. Ia menyediakan rangka kerja pengawalseliaan termasuk kuasa untuk menyiasat, mengadili dan mengenakan penalti terhadap pelanggaran undang-undang persaingan.

MyCC menyambut ulang tahun ke-14 pada 1 April 2025 dan sehingga kini telah mengambil tindakan tegas terhadap lebih 200 syarikat berkaitan kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan, dengan jumlah penalti melebihi RM667 juta. Keutamaan MyCC pada masa ini termasuk meminda Akta bagi memperkenalkan rejim kawalan penggabungan, membanteras kartel penawaran tender serta kartel dalam sektor makanan dan pertanian, selain memberi tumpuan terhadap cabaran ekonomi digital terhadap undang-undang dan dasar persaingan. Untuk maklumat lanjut mengenai Akta dan aktiviti MyCC, layari www.mycc.gov.my.