SOAL SELIDIK AWAM BAGI KAJIAN PENAMBAHBAIKAN INDUSTRI UMRAH DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menjalankan Kajian Penambahbaikan Industri Umrah di Malaysia yang bermula pada Oktober 2025 selaras dengan Seksyen 16(g) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 [Akta 713]. Kajian ini bertujuan meneliti struktur pasaran, menilai keadaan semasa industri serta menyokong penambahbaikan jangka panjang dalam rangka kerja ekonomi industri Umrah.

Kajian ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, termasuk menganalisis struktur pasaran dan corak operasi pemain industri Umrah, memahami tren permintaan dan penawaran perkhidmatan Umrah masa kini serta mengenal pasti isu-isu kritikal dan cabaran dari perspektif persaingan, pasaran dan regulatori. Objektif-objektif ini akan menyediakan input komprehensif bagi memperkukuh penambahbaikan pada masa hadapan.

Berdasarkan penemuan awal, MyCC akan mengemukakan syor dan cadangan intervensi yang bersesuaian kepada Kerajaan untuk memperkukuh mekanisme pemantauan pasaran, mempromosikan persaingan sihat dan menyokong pembangunan mampan industri Umrah.

Sejak Oktober sehingga Disember 2025, MyCC telah berinteraksi dengan pelbagai pemegang taruh termasuk persatuan, agensi pelancongan dan syarikat penerbangan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang lanskap semasa industri.

Sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan data, yang turut melibatkan edaran kaji selidik untuk penyertaan awam, MyCC telah melancarkan Kajian Selidik Jemaah Umrah pada 2 Disember 2025. Kaji selidik ini boleh diakses melalui pautan https://forms.gle/u1rAgF9zVXTHFAJ27 sehingga 19 Disember 2025 (Jumaat).

Pandangan dan maklumat yang diberikan oleh orang awam serta pemegang taruh industri akan memainkan peranan penting dalam membentuk cadangan dasar dan langkah penambahbaikan bagi mewujudkan pasaran Umrah yang cekap, telus dan kompetitif, demi manfaat pengguna di Malaysia.