KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2026 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) hari ini melakar satu lagi sejarah penting dalam hubungan yang telah lama terjalin melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan ekonomi yang rapat, dengan aktiviti perniagaan dan kepentingan komersial yang merentasi kedua-dua pasaran. Pada masa yang sama, perkembangan teknologi dan pasaran digital terus mengubah cara barangan dan perkhidmatan ditawarkan merentasi sempadan. Sehubungan itu, MoU ini menyediakan rangka kerja untuk MyCC dan CCS memperkukuh kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, termasuk pertukaran maklumat dan pengalaman, perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti, kerjasama teknikal serta perkara berkaitan penguatkuasaan yang melibatkan dimensi rentas sempadan, tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kerahsiaan kedua-dua negara.
Selain kerjasama dalam aspek penguatkuasaan, MoU ini turut menyediakan peluang kepada pegawai daripada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan undang-undang dan dasar persaingan, berkongsi pengalaman institusi serta membangunkan kepakaran dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama. Kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan pengalaman masing-masing, di samping terus membangunkan pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan pasaran di negara masing-masing.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Datuk Haji Iskandar bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC dan Encik Alvin Koh, Ketua Eksekutif CCS. Majlis menandatangani MoU tersebut telah disaksikan oleh YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia dan Dr. Beh Swan Gin, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura.
MoU ini merupakan MoU antarabangsa kelima MyCC dan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha MyCC untuk memperluas dan memperkukuh hubungan dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat antarabangsa. Kerjasama antarabangsa sedemikian semakin penting apabila pihak berkuasa persaingan berdepan dengan perlakuan dan perkembangan pasaran yang tidak semestinya terhad dalam sempadan sesebuah negara.
YBhg. Datuk Haji Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, menyifatkan MoU tersebut sebagai satu perkembangan penting dalam hubungan antara MyCC dan CCS.
“Penguatkuasaan persaingan yang kukuh bukan sahaja bergantung pada undang-undang yang kita laksanakan, tetapi juga kekuatan institusi yang diberi amanah untuk menguatkuasakannya. Bagi MyCC, MoU ini merupakan peluang untuk melihat di luar pengalaman kita sendiri, mempelajari pendekatan yang berbeza dan terus meningkatkan standard dalam melaksanakan mandat kita demi manfaat rakyat. Oleh itu, saya yakin bahawa pemeteraian pada hari ini akan menjadi asas kepada hubungan yang lebih bermakna antara MyCC dan CCS pada tahun-tahun akan datang,” kata Datuk Haji Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.