Ucapan YBM – Pelancaran Competition Act Handbook

Ucapan YBM – Pelancaran Competition Act Handbook
Ucapan Oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pelancaran Buku Panduan Competition Act 2010 for The General Public
Date: 16 Jul 2012

Ucapan Oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Pelancaran Buku Panduan Competition Act 2010 for The General Public
16 Julai 2012 (Isnin), Westin 1 Ballroom, Level 2,
The Westin Hotel, Kuala Lumpur

Yang Berbahagia Dato’ Daud Tahir
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob
Pengerusi MyCC

Anggota-anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Y.Bhg. Tan Sri Dr. Michael O.K. Yeoh
Y.Bhg. Prof. Datin Dr. Hasnah Haron
Y.Brs. Tuan Ragunath Kesavan
Y.Brs. Tuan Abd Malek bin Ahmad

Y.Brs. Puan Shila Dorai Raj
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC

Ketua-Ketua Agensi KPDNKK
Ketua-Ketua Bahagian KPDNKK

Tan Sri, Datuk, Tuan, Puan, Dif-dif Kehormat
Wakil-wakil Media-Massa

Dan Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian.

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia,

  1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada MyCC kerana telah berjaya melancarkan buku panduan The Competition Act 2010 for General Public yang bakal menjadi rujukan kepada orang awam berkenaan dengan pelaksanaan dan peranan undang-undang ini. Memandangkan Akta Persaingan 2010 merupakan suatu bentuk perundangan baru yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012, langkah ini adalah amat bertepatan di dalam memastikan para pengguna dapat memahami dengan jelas dan tepat mengenai tujuan dan fungsi akta ini dikuatkuasakan.
  2. Sepertimana sedia maklum, persekitaran persaingan yang kondusif akan mendorong sesuatu perusahaan atau individu menjadi lebih efisien, inovatif dan memenuhi keperluan pengguna. Dengan adanya proses persaingan yang sihat, para pengguna akan dapat menikmati lebih banyak pilihan, harga yang lebih rendah serta barangan dan perkhidmatan yang lebih berkualiti. Ekonomi negara pada keseluruhannya pula akan mendapat manfaat yang positif hasil daripada peningkatan produktiviti dan pengagihan sumber yang lebih efisien.

    Dif-dif kehormat, Tuan-tuan dan puan-puan,

  3. Fokus utama Kerajaan di dalam memperkenalkan undang-undang persaingan di negara kita ini bukanlah hanya berbentuk penguatkuasaan semata-mata. Saya sesungguhnya percaya bahawa Akta Persaingan 2010 tidak akan dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya orang awam masih lagi gagal memahami intipati, pelaksanaan dan tujuan undang-undang ini diwujudkan. Salah satu matlamat penting Kerajaan dan MyCC secara khususnya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan dan cara bagaimana undang-undang persaingan ini dilaksanakan. Dengan pemahaman yang jelas, adalah diharapkan aktiviti-aktiviti berbentuk anti-persaingan akan dapat dielakan dengan sendirinya sekaligus akan dapat menggalakan ‘self-compliance’ dan mengurangkan beban sumber MyCC dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan di bawah Akta Persaingan 2010.
  4. Sepertimana kita semua maklum, Akta Persaingan 2010 akan terpakai kepada semua yang menjalankan sebarang bentuk aktiviti komersil tidak kira samada individu atau syarikat, pengeluar, pembekal atau syarikat milikan awam atau swasta. Melalui pemahaman yang lebih baik, semua pihak dapat melaksanakan ‘self-assessment’ bagi menilai samada sesuatu aktiviti perniagaan tersebut bertentangan dengan Akta Persaingan 2010 atau sebaliknya. Ianya juga akan menggalakan semua pihak terutama golongan pengguna supaya menjadi peserta yang aktif di dalam membantu MyCC menguatkuasakan undang-undang ini dengan lebih efektif dan lancar. Dengan pemahaman yang baik, orang awam dan pengguna juga boleh menjadi ‘watchdog’ atau pemerhati terhadap sebarang tindakan anti-persaingan di pasaran dan melaporkan tindakan tersebut kepada pihak MyCC. Dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan,
  5. Walaupun buku panduan ini ringkas, saya percaya ianya akan memberikan satu manfaat yang sangat besar terutama kepada golongan man-on-the street sebab ianya mengandungi ilustrasi dan keterangan yang mudah difahami tetapi dengan mesej yang tepat. MyCC dengan kerjasama KPDNKK juga giat menjalankan kempen-kempen kesedaran pengguna bagi memastikan pengguna setiasa berinformasi dan terpelihara dari sebarang manipulasi and ekploitasi peniaga-peniaga. Persaingan di kalangan peniaga untuk memenangi hati pengguna dan pelanggan merupakan asas bagi pasaran yang fleksibel dan ekonomi yang dinamik. Dengan memenuhi permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan pada harga yang lebih rendah dan kualiti yang tinggi, para peniaga akan dapat mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti, membuat pelaburan dan menggalakkan inovasi dalam produk dan proses. Dengan ini, kecekapan ekonomi dapat dipertingkatkan dan kebajikan pengguna terbela.
  6. Dengan penerbitan buku panduan ini, ianya akan melengkapkan para peniaga dan orang awam amnya dengan pemahaman asas mengenai hak dan tanggungjawab masing-masing di bawah Akta Persaingan 2010. Saya percaya buku panduan The Competition Act 2010 for General Public ini terhasil daripada usaha dan kerjasama di kalangan anggota-anggota Working Committee on Advocacy di MyCC yang terdiri daripada pelbagai wakil industri, agensi Kerajaan dan pengguna. Saya difahamkan bahawa MyCC juga telah menerima banyak permintaan daripada pihak industri dan pengguna untuk memberi taklimat dan penjelasan mengenai undang-undang persaingan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat semakin sedar dan tahu akan kewujudan dan peranan undang-undang persaingan ini.

    Dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan,

  7. Justeru itu, buku panduan ini akan menjadi pelengkap kepada initiatif-initiatif Kerajaan yang sedia ada terutama bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara. Sebagai contoh, buku panduan ini ada memberi maklumat kepada pengguna bahawa penetapan harga minimum oleh pengeluar barang terhadap harga yang boleh dijual oleh peruncit boleh menjadi satu pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010. Ini adalah kerana tindakan ini akan menyekat kebebasan peruncit untuk memberikan diskaun terhadap produk yang dijual kepada pengguna akhir. Sudah pasti tindakan menetapkan harga runcit ini tidak sejajar dengan kepentingan pengguna kerana ia menghalang pengguna dari menikmati harga produk dan perkhidmatan yang lebih rendah.
  8. Dalam menyentuh aspek kebajikan pengguna yang merupakan orang awam amnya, beberapa negara seperti Zambia dan Zimbabwe mempunyai undang-undang yang hibrid di mana undang-undang negara mereka mengutarakan kedua-dua aspek persaingan dan pelindungan pengguna. Dalam contoh lain pula seperti di negara Australia dan New Zealand yang mempunyai undang-undang yang berbeza tetapi agensi hibrid yang memainkan peranan dalam menguatkuasakan kedua-dua aspek persaingan dan perlindungan pengguna. Tren menunjukkan bahawa banyak lagi negara sedang menuju ke arah ini di mana kedua-dua perkara ini diletakkan dibawah satu agensi penguatkuasa. Namun, sepertimana kita semua maklum, kedua-dua undang-undang ini mempunyai matlamat yang sama dalam menangani herotan dalam pasaran dan memberi manfaat kepada kedua-dua rantaian di antara pengeluar dan pengguna (they are two sides of the same coin).

    Dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan,

  9. Akhir kata, saya juga ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada MyCC di atas kejayaan menghasilkan buku panduan The Competition Act 2010 for General Public dan berharap bahawa MyCC akan sentiasa menjalankan program-program kesedaran dan pendidikan seperti ini bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat yang sewajarnya. Sudah tentu usaha seperti ini tidak dapat dijalankan dengan berkesan tanpa sokongan dari setiap pihak terutama organisasi media di dalam menyebarkan maklumat terkini dan memberikan liputan yang meluas terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak MyCC.

Sekian, terima kasih.
YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
16 Julai 2012