ENAM PERUSAHAAN BAKAL BERDEPAN DENGAN PENALTI KEWANGAN KERANA KARTEL TIPUAN BIDA

Kuala Lumpur, 23 Disember 2025 Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap enam (6) perusahaan atas penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida melibatkan enam belas (16) sebut harga dan satu (1) tender yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Kluang.

Perusahaan-perusahaan ini didapati secara berperingkat telah melanggar Seksyen 4(2)(d) Akta Persaingan 2010 [Akta 712]. Sebut harga dan tender yang terjejas melibatkan nilai perolehan dari RM30,000 sehingga RM3 juta, dengan jumlah nilai keseluruhan sebanyak RM7.3 juta.

Melalui penyiasatan MyCC, didapati bahawa perusahaan-perusahaan tersebut telah terlibat dalam kartel tipuan bida melalui pertukaran maklumat dan penyelarasan penyerahan tender dan bidaan oleh pihak yang sama. MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam di Jabatan Penjara Kluang.

Adalah penting untuk ditekankan bahawa pada peringkat ini, Keputusan Cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa perusahaan-perusahaan ini telah melanggar Akta Persaingan 2010 [Akta 712] secara konklusif.
Perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan. Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan.

Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia