MYCC dan Dosm Memeterai Kerjasama Strategik bagi Pemerkasaan Data Sebagai Sumber Utama Dasar Kerajaan

PUTRAJAYA, 19 JUN 2026 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan komitmen kerajaan untuk mengguna pakai pendekatan berpusatkan data bagi memperkukuhkan pelaksanaan dasar kerajaan termasuk penguatkuasaan terhadap isu persaingan negara.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah berlangsung di ibu Pejabat DOSM, Putrajaya. MOU itu telah ditandatangani oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun, Pengerusi MyCC, bagi pihak MyCC dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, bagi pihak DOSM. Majlis turut disaksikan oleh YBhg. Datuk Haji Iskandar bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC serta YBrs. Puan Siti Asiah binti Ahmad, Timbalan Ketua Perangkawan Program Ekonomi, DOSM.

Kolaborasi ini menyediakan rangka kerjasama antara MyCC dan DOSM termasuk pengukuhan serta perkongsian data, program pembangunan kapasiti dan pertukaran kepakaran sebagai beberapa strategi untuk memantau dan menambah baik proses persaingan dalam pelbagai sektor di Malaysia secara berterusan.

DOSM berpendapat bahawa, memandangkan MyCC mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam menghasilkan kajian ekonomi bertaraf dunia, kerjasama ini merupakan satu langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan dan analisis data di samping memperluaskan penggunaan statistik rasmi dalam memahami corak ekonomi semasa dan global. Ini juga selari dengan pandangan MyCC bahawa inilah peluang dan masa untuk memperkukuhkan peranan data dan analitik dari sudut ekonomi persaingan terutama dalam era data yang dianggap sebagai komoditi utama dunia.