KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER 2026 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan Keputusan Dapatan Pelanggaran terhadap enam (6) perusahaan atas penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida berhubung satu (1) tender pembekalan makanan yang dikeluarkan pada tahun 2022 oleh Kementerian Dalam Negeri. Enam (6) perusahaan tersebut ialah Bawah Bayu Trading PLT, Borneo Kreatif Enterprise PLT, Fatijaya Corporation, Man Prospek Niaga, Mediha Trading dan Teras Maju Enterprise. Tender tersebut, iaitu Pembekalan Makanan Mentah, Basah dan Kering kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Papar, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah bagi tempoh 3 tahun, bernilai RM5,714,520.00.
MyCC telah memulakan penyiasatan susulan maklumat yang diterima daripada pihak berkaitan berhubung perlakuan tipuan bida dalam tender tersebut. Sepanjang tempoh penyiasatan, MyCC telah melaksanakan waran geledah di premis satu entiti yang berkaitan, mengeluarkan beberapa notis bagi mendapatkan dokumen serta merakam pernyataan daripada individu-individu tertentu.
Hasil penyiasatan MyCC mendapati bahawa perusahaan-perusahaan tersebut telah terlibat dalam kartel tipuan bida melalui perkongsian maklumat dan pemudahcaraan tender. MyCC juga mendapati bahawa perjanjian untuk melakukan tipuan bida tersebut mempunyai matlamat untuk menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam tender bagi pembekalan makanan mentah, basah dan kering.
Susulan penyiasatan tersebut, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan kepada enam (6) perusahaan berkenaan pada 16 Jun 2026. Seterusnya, perusahaan-perusahaan terbabit telah mengemukakan Representasi Bertulis kepada MyCC. Pada 8 September 2026, kesemua enam (6) perusahaan terbabit telah memaklumkan keputusan mereka untuk mengakui liabiliti terhadap dapatan dalam Keputusan Cadangan tersebut dan menyatakan kesediaan untuk membayar penalti kewangan seperti yang ditetapkan dalam Keputusan Cadangan itu.
Setelah meneliti fakta, bukti, pengakuan pihak-pihak terbabit serta faktor-faktor pemberatan dan mitigasi yang relevan, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Dapatan Pelanggaran di bawah Seksyen 40 Akta Persaingan 2010 [Akta 712] terhadap kesemua perusahaan kerana melanggar Seksyen 4(2)(d) Akta 712. Dalam keputusannya, MyCC telah mengenakan penalti kewangan sebanyak RM1,177,664.64 secara keseluruhan terhadap enam (6) perusahaan berkenaan.
“MyCC mengalu-alukan keputusan perusahaan-perusahaan yang disiasat untuk mengakui liabiliti dan kesediaan mereka untuk menyelesaikan kes ini dengan segera. Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan kekesalan di pihak mereka, malah turut menjimatkan masa dan sumber MyCC,” kata Datuk Haji Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.
“Walau bagaimanapun, MyCC ingin menegaskan sekali lagi bahawa tipuan bida suatu bentuk pelanggaran yang serius di bawah Akta 712. Tipuan bida menjejaskan asas sesuatu proses tender kerana ia mencemarkan integriti proses perolehan. Perniagaan hendaklah bersaing secara bebas dan berdasarkan merit masing-masing bagi membolehkan kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan yang wajar kepada rakyat. MyCC akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap kartel, tanpa rasa takut atau pilih kasih, demi melindungi proses persaingan dalam tender sektor swasta dan awam.”