MyCC LANCAR KAJI SELIDIK NASIONAL UNTUK PERKUKUH LANDSKAP EKONOMI DIGITAL MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 7 MEI 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengumumkan pelancaran kaji selidik berskala nasional berikutan pelaksanaan Kajian Semula Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital, yang dijalankan di bawah seksyen 11 Akta Persaingan 2010. Kajian ini yang telah bermula pada Julai 2024 dan dijangka selesai pada Disember 2025, bertujuan untuk menilai struktur pasaran dan dinamik persaingan merentasi lima subsektor kritikal yang menjadi tulang belakang pasaran digital di Malaysia. Lima subsektor tersebut adalah:

(i) Pengendalian mudah alih dan sistem pembayaran;
(ii) Pasaran runcit e-dagang;
(iii) Perkhidmatan pengiklanan digital;
(iv) Agensi pelancongan dalam talian (OTA); dan
(v) Privasi dan perlindungan data (analisis rentas sektor).

MyCC bertekad untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap impak dominasi platform global terutamanya dalam mencorak cara kita berhubung dan menjalani kehidupan dalam era digitalisasi. Inisiatif ini mencerminkan komitmen yang kukuh dan berpanjangan MyCC dalam usaha untuk menangani cabaran persaingan dalam ekosistem ekonomi digital negara yang kian membangun. Dengan pengaruh platform digital yang semakin meluas, MyCC berusaha untuk memastikan pertumbuhan ini tidak akan menjejaskan persaingan sihat, ketelusan, serta peluang untuk peniaga-peniaga tempatan berkembang dan bersaing secara adil.

Pengguna dan perniagaan semakin bergantung kepada platform digital global yang dominan melalui kecekapan teknologi dan inovasi mereka. Namun, di sebalik kemudahan ini, tersembunyi rangkaian cabaran pasaran, halangan persaingan, dan batasan peraturan yang secara senyap membentuk dinamik industri. Justeru, kajian ini adalah langkah penting merungkai isu-isu yang berlaku dalam pasaran digital,” Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, En. Iskandar Ismail.

MyCC mempunyai agenda yang jelas untuk melindungi persaingan sihat dan memastikan ketelusan, keadilan, serta peluang yang saksama dalam pasaran digital Malaysia.

MyCC menyeru semua pengguna, perniagaan, dan pihak-pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik ini dan berkongsi pandangan mengenai perkhidmatan digital yang digunakan. Setiap maklum balas adalah menyumbang kepada pembentukan dasar yang lebih mantap, memperkukuh ekonomi digital negara, dan memastikan persaingan sihat terus berkembang demi manfaat bersama.

Maklumat kaji selidik:
Tempoh: 7 Mei 2025 – 6 Jun 2025
Anggaran masa: 15 minit
Pautan tinjauan: Tinjauan Pasaran Ekonomi Digital MyCC

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mycc.gov.my atau hubungi sekretariat di ced- [email protected].