TRIBUNAL RAYUAN PERSAINGAN KEKALKAN KEPUTUSAN RM415.5 JUTA OLEH MyCC TERHADAP KARTEL MAKANAN AYAM

KUALA LUMPUR, 11 FEBRUARI 2026 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini menerima baik keputusan sebulat suara Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) yang telah menolak semua rayuan yang dikemukakan oleh Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn. Bhd., Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd., FFM Berhad dan Gold Coin Feedmills (M) Sdn. Bhd. terhadap keputusan MyCC pada Disember 2023 berhubung pelanggaran seksyen 4 Akta Persaingan 2010 [Akta 712]. Satu perayu tidak meneruskan rayuannya.

TRP bersetuju dengan dapatan MyCC bahawa syarikat-syarikat berkenaan telah bersepakat untuk menyelaraskan kenaikan harga makanan ayam. Makanan ayam merupakan komponen kos utama dalam industri penternakan dan sebarang penyelarasan harga boleh memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran ayam serta harga yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Setelah meneliti dokumen dan mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak, TRP telah memutuskan bahawa keputusan MyCC adalah berasaskan bukti yang kukuh, termasuk bukti penyelarasan kenaikan harga dalam tiga tempoh berasingan antara 31 Januari 2020 hingga 30 Jun 2022. TRP turut mengesahkan bahawa MyCC telah menguatkuasakan peruntukan Akta Persaingan 2010 dengan betul dan sebarang perjanjian antara pesaing-pesaing untuk menetapkan harga merupakan pelanggaran serius yang memudaratkan persaingan.

TRP juga mengekalkan kesemua penalti kewangan dan arahan yang dikenakan oleh MyCC. Tribunal berpendapat bahawa penalti tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan setimpal dengan tahap kesalahan yang dilakukan. TRP menambah bahawa tiada alasan untuk mengurangkan penalti, malah penalti tambahan terhadap salah satu syarikat kerana mengganggu proses penyiasatan turut dikekalkan.

TRP turut menolak dakwaan bahawa MyCC bertindak secara tidak adil atau melanggar prinsip keadilan dalam aspek prosedural. TRP mengesahkan bahawa penyiasatan dijalankan1 UNTUK SIARAN SEGERA MEJA BERITA/EKONOMI mengikut kuasa dan prosedur yang diperuntukkan di bawah Akta Persaingan 2010.

“Keputusan TRP ini memperkukuhkan peranan MyCC dalam melindungi persaingan yang sihat di pasaran. Pasaran hanya dapat berfungsi dengan baik apabila semua perusahaan bersaing secara bebas tanpa sebarang pakatan harga yang boleh menjejaskan pengguna dan ekonomi. MyCC akan terus memantau bagi memastikan pematuhan Akta Persaingan 2010 oleh syarikat-syarikat terlibat dan pemain industri yang lain dan MyCC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perlakuan anti-persaingan demi melindungi kepentingan perniagaan dan pengguna di Malaysia,” kata Datuk Haji Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.