
Tuan Surrendren Sathasivam merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sejak 23 Mei 2025. Beliau memulakan perkhidmatan awam pada tahun 1994 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, pengurusan industri, dan dasar awam menerusi pelbagai peranan strategik di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri serta beberapa kementerian lain.
Berpendidikan tinggi dalam Ekonomi Antarabangsa dan Pengajian Pembangunan dari Universiti Sophia, Tokyo, Jepun, serta memiliki ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, beliau turut mengikuti latihan pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Sumbangan cemerlang beliau telah diiktiraf melalui beberapa Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas daripada pelbagai kementerian. Beliau juga aktif dalam kerjasama antarabangsa seperti OECD, UNCTAD, WIPO, dan WTO, selain menyertai pelbagai forum produktiviti dan latihan kepimpinan serantau.