MyCC ANJURKAN FORUM PINDAAN UNDANG-UNDANG PERSAINGAN

KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2026 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini telah menganjurkan MyCC Competition Law Amendment Forum dengan tema “The New Rules of Play in Competition Law” di Kuala Lumpur. Forum ini telah dihadiri oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan, pengamal undang-undang, ahli ekonomi, ahli badan profesional, wakil industri, ahli akademik dan pelajar.

Forum tersebut terbahagi kepada dua (2) sesi. Sesi pertama dikendalikan oleh pegawai-pegawai kanan MyCC yang memberi tumpuan kepada pindaan-pindaan utama terhadap Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010.

Sesi kedua merangkumi perbincangan panel yang memberi tumpuan kepada kesan pindaan undang-undang persaingan terhadap perniagaan, pemain industri dan pihak berkepentingan. Perbincangan turut menyentuh bagaimana pindaan ini boleh mempengaruhi amalan dan proses membuat keputusan dalam perniagaan, di samping keperluan untuk memahami perubahan dari sudut kawal selia serta membuat persediaan sewajarnya bagi menyesuaikan diri dengan perubahan undang-undang yang diperkenalkan.

Perbincangan ini menampilkan barisan panel daripada pelbagai bidang kepakaran, iaitu Encik Ruben Maximiano, Pakar Kanan Persaingan, OECD; Datuk William Ng, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA); Encik Anand Raj, Presiden Badan Peguam Malaysia serta Dr. Derek Ritzmann, Pakar Ekonomi di Economics Partners dan Profesor Adjung di University of Hong Kong. Perbincangan tersebut dikendalikan oleh Encik Jason Teoh Choon Hui, peguam dan rakan kongsi di Jason Teoh & Partners.

“Pindaan ini merupakan satu perkembangan penting dalam memperkukuh kerangka undang-undang persaingan di Malaysia. Melalui forum ini, kami ingin memastikan perusahaan memahami bukan sahaja perubahan yang diperkenalkan, tetapi mengapa perubahan ini penting. Perusahaan perlu sentiasa peka dan bersedia dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin dinamik. Pada akhirnya, kerangka persaingan yang lebih kukuh adalah penting untuk mewujudkan pasaran yang membolehkan perusahaan bersaing secara sihat, menggalakkan inovasi dan memberi manfaat kepada pengguna,” kata Datuk Haji Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.